CEO SUITE bertapak di Bangkok

Apr 26, 2013

CEO SUITE, sebuah penyedia pejabat berservis, telah melabur US$ 2.5 juta untuk membuka sebuah pusat di Bangkok, menjual perkhidmatan ruang pejabat penyumberan luar kepada firma antarabangsa yang menjalankan perniagaan di Thailand. Pusat ini merupakan yang ke-10 di rantau ini.

 

Syarikat itu mempunyai kontrak pajakan tujuh tahun bagi satu kawasan di tingkat 23 Athenee Tower, yang dimiliki oleh TCC Capital Land. Keseluruhan kawasan seluas 2,000 meter persegi itu dibahagikan kepada 53 bilik pejabat, sebuah bilik persidangan dan kawasan penyambut tetamu, kata presiden dan pemilik CEO SUITE, Mee Kim.

 

Kim, warga Korea Selatan yang mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam bidang ini, percaya ahli perniagaan masa kini lebih gemar pejabat penyumberan luar berbanding membinanya sendiri kerana mereka mahukan lebih kemudahan dan masa untuk menumpukan perhatian hanya kepada perniagaan mereka.

 

Syarikat itu mempunyai pasukan pengurusan kanan dengan sekurang-kurangnya 20 tahun pengalaman dalam perniagaan pejabat berservis, dan akan menyediakan kakitangan pejabat, termasuk akauntan, peguam, pakar IT, setiausaha dan penyambut tetamu.

 

Kim menyebut bahawa Bill Gates dari Microsoft telah memilih untuk menggunakan penyumberan luar bagi pejabat syarikatnya. Selain Microsoft, Exxon Mobil, Dell Computer, Prada dan BMW merupakan contoh syarikat yang lebih gemar pejabat penyumberan luar, tambahnya.

 

“Kami akan menjadikan pelanggan berasa lebih mudah untuk mempunyai pejabat dan menjalankan perniagaan di Thailand. Kami boleh menyediakan kajian perniagaan jika mereka mahu. Saya amat percaya bahawa inilah trend menjalankan perniagaan di luar negara. Cara ini membuatkan mereka berasa mudah untuk berniaga di Thailand dan jika mereka mahu berpindah keluar, ia tidak akan menjadi rumit bagi mereka”, katanya.

 

Firma itu telah melengkapkan perabot dan menghias seluruh kawasan pejabat serta menyediakan infrastruktur berteknologi paling canggih. Pada masa ini, 20 peratus daripada kawasan sewaan telah diduduki. Kata Kim.

 

“Tiga firma antarabangsa telah memajak kawasan pejabat kami. Saya telah menerima sambutan yang baik daripada pelanggan, jadi saya menjangkakan seluruh ruang pejabat akan disewa dalam tempoh enam bulan,” katanya.

 

Kim menjangkakan untuk menjana hasil sebanyak $2 juta setahun daripada perniagaan di Thailand dan $20 juta daripada semua cawangan di Asia, termasuk Jakarta, Singapura, Kuala Lumpur, Shanghai, Beijing dan Manila. Beliau menganggarkan ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya tujuh tahun untuk mencapai titik pulang modal di Thailand.

 

Syarikat itu juga sedang meninjau untuk membuka pusat di Vietnam dan Dubai.